Rabu, 19 Januari 2011

Perkembangan Bahasa Melayu




Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
*      Bahasa Melayu Kuno,
*      Bahasa Melayu Klasik dan
*      Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno
Merupakan keluarga bahasa Nusantara.
Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
1.      Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
2.      Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat.
3.      Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
1.      Pengaruh agama Hindu.
2.      Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
3.      Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
*      Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
*      Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
*      Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
*      Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
*      Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.


Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
*      Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit.
*      Susunan ayat bersifat Melayu.
*      Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan).
*      bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan).
*      Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas).
*      Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat).
*      Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta).
*      Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya).

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik.
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.
Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a.      Batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356) ditulis dalam huruf India mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit. bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b.      Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380) masih memakai abjad India buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat.
c.       Batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387) ditulis dalam tulisan Jawi membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik
Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
*      Zaman kerajaan Melaka.
*      Zaman kerajaan Acheh.
*      Zaman kerajaan Johor-Riau.

Tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-ciri bahasa klasik:
*      ayat: panjang, berulang, berbelit-belit.
*      banyak ayat pasif.
*      menggunakan bahasa istana.
*      kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih) .
*      banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
*      ayat songsang.
*      banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''.

Bahasa Melayu Moden
Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.  Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar